Thursday 22 November 2012

Pelajar Tidak Sarapan Boleh Menjejaskan Pembelajaran


Gambar Pelajar Bersarapan...(Rujukan : Utusan Malaysia, 12/11/12)

 
Saya tertarik kepada satu artikel yang ditulis dalam Arkib Pendidikan Utusan Malaysia pada 12/11/2012. Kita melihat satu kebiasaan yang tidak disedari membawa kesan negatif kepada para pelajar khususnya mereka yang bersekolah sidang pagi iaitu tidak mengambil sarapan sebelum pergi ke sekolah.

Akhbar ini menyatakan akibat tiada pengambilan diet makanan seimbang pada waktu pagi, murid sekolah terdedah kepada masalah kekurangan nutrien yang penting dalam badan sekali gus menjejaskan tumpuan serta pembelajaran mereka di sekolah. Malah lebih buruk lagi, kekurangan nutrisi dalam badan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang dipanggil kebuluran tersembunyi atau hidden hunger. Kebuluran tersembunyi merupakan masalah kekurangan nutrisi atau zat yang tidak dapat dilihat seperti kekurangan vitamin D dan kalsium yang diperlukan tubuh manusia.

Kanak-kanak yang menghidapi masalah ini kelihatannya nampak sihat dari segi fizikal namun sebenarnya tidak menerima komponen nutrien secukupnya yang diperlukan untuk tumbesaran mereka. Kaji selidik Seanuts baru-baru ini mendapati 3,542 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun tahun di negara kita mengalami kekurangan nutrisi dalam badan. Hal ini mungkin disebabkan 32.1 peratus murid berumur tujuh hingga 12 tahun terlepas sarapan atau langsung tidak bersarapan.

Mengikut kajian Jabatan Nutrisi dan Diebetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 di 47 buah sekolah rendah bandar dan 41 sekolah luar bandar mendapati 32.1 peratus murid terlepas sarapan termasuk 7.5 peratus murid yang langsung tidak bersarapan. Kelompok ini tidak bersarapan dengan alasan tidak mempunyai masa, mereka tidak lapar dan tidak mempunyai selera makan. Bagi murid yang mengambil sarapan pula memberi sebab untuk sihat dengan mengambil menu kegemaran mereka seperti roti, nasi goreng dan mee goreng. Kajian tersebut turut mendedahkan sarapan merupakan waktu yang paling diabaikan dalam kehidupan harian kanak-kanak ini berbanding waktu makan tengah hari dan makan malam.

Oleh sebab itu, ibu bapa seharusnya mengambil perhatian serius terhadap pemakanan anak-anak termasuk sarapan pagi bagi membantu tumbesaran dan perkembangan kognitif mereka seiring dengan usianya.

0 comments: