Monday, 19 November 2012

Pengajaran & Pembelajaran Berkesan


(Sebuah Sekolah Terpencil Di Ranau) 
APAKAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN 
(Oleh : Kolaborasi Ilmu)

1.1 Pendahuluan 

Dari segi bahasa, menurut kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) Perkataan Pengajaran dan Pembelajaran adalah berasal dari satu kata dasar yang sama iaitu ajar yang bermaksud petunjuk yang diberikan kepada orang lain. Pengajaran bermaksud segala yang berkaitan dengan mengajar atau mengajarkan ( seperti caranya, sistemnya dan lain-lain).


Pembelajaran pula ialah suatu gerakbalas kepada rangsangan-rangsangan yang membawa kepada satu perubahan. Menurut Shea (1994) dalam Juhazren Junaidi et al. (2005) pembelajaran ialah satu proses mental atau fizikal yang membawa  kepada perubahan tingkah laku. Eh Ah Meng (1993) pula mengatakan bahawa pembelajaran adalah satu proses memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang baru.

 Apa pula yang dimaksudkan dengan pengajaran berkesan?

 Banyak pendapat para sarjana tentang maksud pengajaran berkesan. Menurut Tuner, R. (2001) Pengajaran berkesan itu ialah pengajaran pakar dan cemerlang. Terdapat penggunaan istilah lain seperti mengajar dengan baik (Brown et al., 1993), mengajar dengan kreatif (Woods et al., (1996) dan Pengajaran Berkualiti (Stones, 1992).

 1.2 Latar Belakang dan Kajian Literatur

Proses pengajaran dan pembelajaran berkesan mempunyai penafsiran yang agak berbeza jika dibandingkan senario pendidikan  abad ke-21 dan sebelumnya. Ini kerana faktor perubahan teknologi serta keperluan dalam pembangunan modal insan. Pada Tahun-tahun 1960 hingga 1990, pengajaran dan pembelajaran berkesan dinilai berdasarkan kepada gaya pengajaran dan pembelajaran formal dan tidak formal, didaktif atau penerokaan, tradisional atau progresif. Hanya bermula pada tahun 1991 hingga 2000, pengajaran dan pembelajaran berkesan dinilai melalui 5 dimensi iaitu pengetahuan kurikulum, kemahiran pedagogi, refleksi, empati dan kecekapan mengurus (OECD, 1994). Pada tahun 1997 terdapat penambahbaikan terhadap ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran berkesan iaitu seperti yang dicadangkan oleh Anderson (1991) dalam Expert Teaching (Turner, R. 2001) iaitu peranan guru dalam menentukan halatuju kelas, mewujudkan kelas berasaskan fungsi dan memperbaiki serta mengekalkan momentum pelajar. Selepas Tahun 2000 iaitu memasuki era ke – 21, pengajaran dan pembelajaran berkesan turut dipengaruhi oleh penggunaan peralatan bantuan mengajar ICT yang melibatkan penggunaan komputer dan komponen lainnya.

 Pengajaran dan pembelajaran berkesan agak berbeza dari segi konteks berdasarkan tahap pelajar yang boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu, peringkat rendah, menengah dan tinggi.

Terdapat kajian sarjana yang melihat gaya pengajaran dan pembelajaran berkesan di sekolah rendah dan menengah sebagaimana yang dilakukan oleh University Of Hertfordshire, London (2001) lihat Turner. R (2001) dan Shahril (2005). Terdapat juga kajian mengenai pengajaran dan pembelajaran berkesan bagi pelajar di peringkat kolej dan universiti seperti Allan et al., (2009), Kanika (2009), dan Juhazren et al., (2007) Saya dapati strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran berkesan agak berbeza jika dilihat dari tiga kumpulan pelajar ini.

Walau bagaimana pun dalam penulisan ini saya ingin fokuskan kepada penggunaan bahan bantu mengajar pelbagai media ke arah meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.   

 1.3 Apakah bahan bantu belajar pelbagai media dan kesannya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran ?

 Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan elemen penting dalam memastikan para pelajar dapat mengikuti isi kandungan subjek yang disampaikan ( Muhd. Fauzi et al., 2008).

Guru memerlukan kemahiran asas supaya dapat menjalankan satu proses pengajaran yang baik seterusnya membawa kepada proses pembelajaran murid-murid. Proses pengajaran melibatkan tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru atau pensyarah dan muridnya. Pengajaran  dirancangkan oleh guru secara sistematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan. Ini ditambah lagi dengan adanya bahan media yang sesuai bagi mendekatkan pelajar kepada konsep yang disampaikan oleh guru.

Penggunaan media melalui teknologi maklumat dapat membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.  Pendidikan masa kini berkembang seiring dengan kepesatan sains dan teknologi.  Kelahiran bidang teknologi maklumat (ICT) melalui sistem pengkomputeran sebagai wadah baru era globalisasi telah mempertingkatkan lagi usaha penyebaran ilmu kepada generasi baru dan masyarakat umum di seantero dunia. Melalui kepesatan dan perkembangan bidang pengkomputeran, aliran akademik semasa juga turut melebarkan lagi gerbang ilmiahnya menerusi capaian kepantasan kuasa teknologi ini . Khususnya dalam bidang pendidikan, penggunaan media dalam proses pengajaran sememangnya memberi implikasi baru yang lebih efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus menyumbang kepada kelancaran dan kedinamikan dalam lapangan pendidikan.

Ledakan multimedia dalam dunia pendidikan tidak dinafikan merupakan sebahagian daripada faktor yang turut menyumbang ke arah kemajuan dan prestasi di kalangan guru dan pelajar.  Tidak ketinggalan,  kemudahan peralatan multimedia terkini dan jaringan internet yang telah dibekalkan kepada pihak sekolah bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  Guru mempersembahkan isi kandungan pelajaran dengan menggunakan power point. Guru juga boleh menggunakan teknik video dan audio semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan, bergantung kepada kesesuaian tajuk yang diajar.  Sebagai contoh, apabila guru mengajar tajuk Tarian di Malaysia, maka saya akan mencari video-video pendek di internet melalui youtube.com dan memuatturunkannya dengan menggunakan perisian Internet Download Manager (IDM)  bagi membantu kefahaman pelajar terhadap isi kandungan pelajaran.  Untuk menjadikan pengajaran guru lebih berkesan maka guru telah masukkan nota-nota penting ke dalam blog (albesuty.blogspot.com) sebagai bahan rujukan pelajar. .

Charles B.Klasek (1972), menyatakan bahawa pengajaran guru boleh dianggap teratur sekiranya mereka dapat menggabungkan pengajarannya dengan bahan bantu mengajar. Pengajaran guru akan menjadi lebih berkesan dan berjaya meruntun fikiran pelajar terhadap pelajaran mereka.  Pendapat ini disokong pula oleh satu kajian ilmiah yang mengatakan bahawa pelajar belajar melalui penglihatan sebanyak 70% dan melalui pendengaran sebanyak 30% sahaja.  Jadi saya mengambil pendekatan untuk menggabungkan di antara kedua-dua faktor ini.  Melalui pemerhatian, guru dapati minat pelajar semakin bertambah  apabila guru mengaplikasikan pendekatan ini semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Kebanyakkan penyelidikan yang telah dilaksanakan untuk mengkaji penggunaan media mendapati teknologi yang digunakan (papan tulis elektronik) telah berjaya mengatasi masalah yang berkait dengan pemisahan di antara guru dengan pelajar. Beberapa kajian juga telah melaporkan paras dan jenis interaksi yang berlaku di antara pensyarah dan sistem media elektronik yang digunakan (Rio, 1999)

 1.4 Perbincangan

 Saya sangat bersetuju terhadap kajian awal yang telah dijalankan oleh Sabrina (1998) melaporkan bahawa sistem media elektronik dengan komponen grafiknya mampu memandu pelajar kepada bahan pembelajaran di samping mempertingkatkan penglibatan pelajar dan tahap kefahaman mereka.  Juga terdapat kajian yang lain menunjukkan penilaian yang positif terhadap sistem media sebagai satu proses penyampaian bahan pembelajaran. Selain dari itu kajian juga telah dijalankan terhadap kelebihan penggunaan  TV atau video, sumber web secara sistematik seperti oleh Esther (1999).

 Mereka berpendapat penggunaan media yang berulang dan dilihat berkali-kali dapat mempertingkatkan daya ingatan dan kemahiran pelajar.  TV/Video dikatakan dapat digunakan untuk tujuan pengayaan dan pemulihan.  Malah TV/video yang direkabentuk secara khusus dan sistematik boleh menyatukan semua peringkat perkembangan pengajaran dan pembelajaran ke dalam persembahannya.

 Penggunaan unsur gerak bunyi, warna dan cahaya pada video secara langsung dapat menarik minat perhatian pelajar.  Unsur ini penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia dapat mempertingkatkan kefahaman dan menghindar salah anggapan dan pentafsiran.  Menurut Alessi et al. (1991)  televisyen dan video perlu dilihat sebagai media yang dinamik yang dapat meransang tindakbalas luaran atau dalaman yang kadang-kadang mempengaruhi psikologi seseorang.  Sebagai media pengajaran yang menghampiri konkrit video yang digunakan secara sistematik dapat merangsang daya imaginasi dan perbincangan.  Ia dapat menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar di samping meningkatkan kefahaman dan menghindar salah tanggapan dan pentafsiran

 Manusia dikatakan makhluk yang ‘visually oriented’ dan mereka banyak belajar melalui penglihatan.  Walaupun mereka mendengar dan membaca, apa yang didengar dan dibaca biasanya akan divisualkan dalam pemikiran mereka untuk mendapatkan konsep atau makna yang lebih jelas.  Ini selaras dengan kata-kata yang pernah dimadahkan oleh Kung Fu Tze, seorang pujangga dan ahli falsafah cina;

‘…kalau saya dengar, saya lupa; kalau saya lihat saya ingat; dan kalau saya buat saya tahu…’

Kajian ini juga telah menunjukkan betapa pentingnya peranan guru dalam memastikan keberkesanan media dalam pengajaran.  Misalnya jika guru menayangkan filem serta mengaitkan dengan objektif-objektif pembelajaran, maka maklumat yang terima oleh pelajar akan bertambah.  Misalnya, Ausuble (1968) mengemukakan konsep maklumat awal sebagai bantuan untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan.

 Contoh maklumat awal ini ialah satu tinjauan, pengenalan kepada ringkasan penting kepada isi pelajaran, satu pernyataan tentang prinsip-prinsip yang terkandung dalam maklumat yang akan disampaikannya.  Molstad (1974) berpendapat media jika digunakan bersama pengajaran ala tradisional akan meningkatkan proses pengajaran.  Menurut Heinich et al.(1981) pengajaran akan menjadi lebih berkesan jika penggunaan media dirancang secara sistematik.”

 Walaupun terdapat kajian-kajian tentang amalan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan seperti yang diutarakan oleh para sarjana, guru-guru juga banyak mengaplikasikan banyak teori pembelajaran yang dikemukakan seperti Teori Pelaziman Pavlov, Thorndike dan Skinner yang menjadi panduan untuk merangsang pengajaran dan pembelajaran. Teori ini menjelaskan pembelajaran berkesan berlalu melalui rangsangan gerakbalas yang terbentuk dari proses pelaziman (Hamzah, 1990). Guru-guru perlu membiasakan murid dengan suasana pembelajaran yang menarik bagi meningkatkan penglibatan mereka. Guru perlu mempunyai kemahiran untuk merangsang motivasi dan minat pelajar untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran samada di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Kejayaan seseorang guru untuk mengekalkan tahap motivasi pelajar untuk belajar akan menyumbang kepada  kejayaan murid itu pada masa akan datang. Jika suasana pengajaran guru tidak menarik, proses pembelajaran murid akan terjejas. Murid-murid akan malas dan tidak mengikuti pengajaran guru dengan baik. Oleh itu, tugas guru amat penting dan mencabar untuk mempastikan suasana pengajaran serta pembelajaran yang berkesan pada setiap masa.

 Rujukan

Alessi, S.M. & Trollip, S.R. (1991). Computer-based instruction: Methods and development.  Englewood Cliffs, New Jersey: Prentice Hall.

Ausubel, D. P. (1968). Educational psychology: A cognitive view. New York: Holt,

    Rinehart & Winston.


Brown, S. dan McIntyre, D. (1993) Making Sence Of Teaching, Buckingham: Open
    University Press

Charles B. Klasek. (1972). Instructional Media in the Modern School. London. Professional 
    Educators Publications

DBP. (1993) Kamus Dewan. Kuala Lumpur. Dewan bahasa & Pustaka

Eh Ah Meng. ( 1993). Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu. Kuala Lumpur. Penerbitan
    Fazar Bakti.

Esther, G. S. D. (1999). Integrasi multi media dalam pendidikan sains: Satu model   kerangka teori. Kertas kerja Seminar Pendidikan Sains di Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat, Universiti Malaya pada 21 April 1999.

Hamzah, M. D. (1990). Pembelajaran dan Implikasi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
    Bahasa dan Pustaka.

Heinich, R.Molenda m dan Rusell, J.D, (1981). Instructional Media and The New 

    Technologies of Instruction, Macmillan, New York.

Hill, S & Hill, T. (1997). Bilik darjah Semuafakat. Kuala Lumpur, ITNMB

Jo Allan, Karen Clarke Micheal Jopling. (2009). Effective Teaching in Higher Education:
    Perceptions Of First Year Undergraduate Students. International Journal of Teaching and
    Learning in Higher Education
, 362-372.

Juhazren Bin Junaidi & Sutha A/P Sugumaran. (2005). Hubungan Gaya Pembelajaran
    Dengan Pencapaian Matematik Dan Multimedia Di Kalangan Pelajar Tahun Akhir Sarjana
    Muda Sains Dan Komputer Serta Pendidikan (Matematik) Di Universiti Teknologi
    Malaysia, Skudai, Johor. Fakulti Pendidikan UTM. Skudai. 1-10

Kanika, K. A. (2009). Effective teaching Behaviors In The College Classrom : A Critical
    Incident Technique From Student's Perspective. International Journal Of Teaching and
    Learning in Higer Education
, 299-309.

Mohd. jalaludin, Abdus Salam. (2010). Effective Learning and Teaching. Medicine Today ,
    32-36.

 Molstad, J. A. (1974). Selective review of research studies showing media effectiveness: A
    primer for media directors. Audiovisual Communication Review, 22, 387- 407.

 Muhd. Fauzi Aminuddin, Shazi Shaarani, Aini Hussain, Mohd Faisal Ibrahim, Salina Abd.
    Samad dan Mohd. Marzuki Mustafa. (2008). Ciri-ciri Pengajaran dan Pembelajaran
    Berkesan. Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. UKM Bangi. 1-7

OECD. (1994). Making Education Count : Developing and using international indicators.
    London: OECD.


Reinders, H. (2010). Towards a classroom Pedagogy for learner Autonomy: A Framework Of
    Independent Language Learning Skills. Australian Journal Of Teacher education , 40-55.

Rio, S.S. (1999). Ketrampilan dalam Teknologi: Multi Media dalam Pendidikan Sains. Kertas kerja Seminar Pendidikan Sains di Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat, Universiti Malaya pada 21 April 1999.

Sabrina Bakar (1998). Kesan mod persembahan yang berbeza dalam multimedia berasaskan komputer terhadap pencapaian matematik pelajar yang berbeza gaya kognitif. Unpublished masters dissertation, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Shahril, M. (2005). Amalan Pengajaran Guru Yang Berkesan : kajian di beberapa Sekolah
    Menengah di Malaysia. Fakulti Pendidikan Universiti Malaya , 1-14.

Stones, E. (1992). Quality Teaching : A Sample Of Cases. London : Routledge

Tunner, R. (2001). Pengajaran pakar (Alihbahasa). Kuala Lumpur. ITNMB

Wood, P. dan Jeffrey, B. (1996). Teachable oment. The art of teaching in primary school.
    Buckingham. Open University Press.

0 comments: